TEKA-TEKI pemenang acara yang menjadi tumpuan dalam sukan olahraga pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 terjawab semalam.
Pelari pecut Selangor, Muhammad Aqil Yasmin mencuri perhatian apabila memenangi pingat emas acara 100 meter (m) setelah melakukan catatan 10.39 saat (s), sekali gus mengecewakan dua atlet negara yang bertanding pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia baru-baru ini.
Pelari Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi yang ketinggalan 0.04s di belakang Muhammad Aqil terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu meraih pingat gangsa selepas mencatatkan masa 10.46s.
Atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias pula melakar memori manis apabila mencatat kejayaan berganda setelah menyambar pingat emas dalam acara 100m wanita dan turut memecahkan rekod Sukma berusia 10 tahun pada temasya edisi ke-19 itu.
Pelari kelahiran Setiu itu mencatatkan masa 11.81 saat (s) bagi mengatasi rekod 11.82s yang dicipta oleh Siti Fatima Mohamad (Johor) pada Sukma 2008 di Terengganu.
Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi atlet Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (12.17s) dan Ikma Syaffiera Duris (12.28s).











