PUTRAJAYA 17 Sept. – Kemunculan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik negara perlu disambut berdasarkan sejarah panjang perjalanan reformasi dan kehebatan kepimpinannya yang amat diperlukan dalam membentuk Malaysia Baharu.
Apatah lagi kata Naib Presiden PAN, Datuk Dr. Mujahid Yusof, semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan sokongan penuh kepada Anwar.
PAN katanya, turut menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksimum mungkin melalui Presidennya, Mohamad Sabu manakala DAP berjanji memenangkan Anwar di Port Dickson semasa pilihan raya kecil nanti.
Berita berkaitan:
“Suara yang mempertikaikan keputusan Anwar untuk bertanding di Port Dickson dan mengapa bukan di tempat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan, tidak melihat susur galur perjalanan politik Anwar.
“Tanggapan kononnya Anwar akan mewarnai politik anak-beranak terlalu awal untuk diberi ulasan kerana berbanding dengan perjalanan politik Anwar, isu anak beranak terlalu kerdil untuk diberi perhatian. Hanya mereka yang kurang arif perjalanan politik Anwar akan membesarkan isu politik anak beranak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Dr. Mahathir dan Anwar adalah gabungan dinamik untuk memulakan politik baharu di Malaysia.
Langkah awal tambahnya adalah penting kerana proses Malaysia Baharu akan memakan masa dan dalam proses itu kemunculan Anwar adalah sangat tepat dan diperlukan.
“Diharapkan generasi penyambung akan meneruskan gagasan Malaysia Baharu yang penuh dengan cabaran dan halangan. Untuk kemunculan Anwar saya mengucapkan marhaban dah ahlan wa sahlan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











