Pas nafi dakwaan Patriot berkait pakaian rasmi Jabatan Amal - Utusan Malaysia

Pas nafi dakwaan Patriot berkait pakaian rasmi Jabatan Amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Pas menafikan tuduhan pakaian seragam Jabatan Amal parti tersebut menyerupai seragam tentera sebaliknya menyatakan ia adalah uniform rasmi yang sah dari segi undang-undang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, uniform yang julung-julung kali dipakai dalam perbarisan kawalan kehormat sempena perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-64 yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu merupakan sebahagian daripada tujuh pakaian seragam pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). 

“Setiap negeri dan pertubuhan mempunyai ‘number one dress’ masing-masing seperti Pengakap atau St. John Ambulans Malaysia justeru, tiada sebarang larangan terhadap penggunaan pakaian seragam sedemikian. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kita bukan satu kesalahan dan kita juga tidak ambil peluang untuk menyamar atau sebagainya kerana ia merupakan sebahagian daripada pakaian pertubuhan yang berdaftar,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-64 di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan ke atas Pas berhubung penggunaan pakaian seragam berserta medal yang dikatakan mirip tentera. 

Pakaian itu digunakan Jabatan Amal Pas semasa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pemeriksaan perbarisan dalam perasmian muktamar semalam. 

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mempersoal tindakan Patriot yang seolah-olah sengaja mencari ‘gaduh’ sedangkan terdapat lambakan jualan pakaian menyerupai tentera dalam pasaran. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini