Waspada mandi ketika paras air sungai cetek - Utusan Malaysia

Waspada mandi ketika paras air sungai cetek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Orang ramai perlu berwaspada dengan paras air sungai yang cetek sebelum mandi-manda bagi mengelak kejadian lemas dan tanah jerlus.

Cuaca panas dan musim kemarau yang berlaku sekarang menyebabkan orang ramai memberanikan diri untuk mandi setelah menyedari paras air semakin surut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fenomena kemarau dan cuaca panas yang melanda sekarang menyebabkan paras air sungai Pahang dan Tembeling di daerah ini semakin surut sehingga ada yang berani mandi tanpa mengira usia.

“Orang ramai perlu berhati-hati terutama pelancong dari luar yang bertandang ke Taman Negara Kuala Tahan kerana mereka perlu mendapatkan maklumat mengenai paras air daripada penduduk setempat terlebih dahulu sebelum mandi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai kejadian lemas yang berlaku di Sungai Lubok Semuncung, Kampung Pagi.

Dalam kejadian pukul 6 petang Sabtu lepas, seorang lelaki India dilaporkan lemas ketika mandi di sungai berkenaan selepas memancing.

Mayat S. Sathasivam, 59, dari Klang, Selangor ditemui pukul 11.45 pagi kelmarin oleh pasukan penyelam Elit dari Bomba dan Penyelamat Temerloh.

Menurut Mazlan, mayat mangsa yang bekerja sebagai Penyelia Kilang Nestle Shah Alam, Selangor itu dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

“Kita harap semua pihak peka dengan perkara ini dan mengawasi ahli keluarga sekiranya mereka ingin mandi-manda di sungai,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini