Keberanian jiwa Hafiz - Utusan Malaysia

Keberanian jiwa Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan sifat berani perlu ada pada setiap atlet jika mereka memasang impian untuk menggegar dunia.

Menerusi sifat inilah yang dianugerahkan oleh Allah kepada pesilat muda negara, Mohamad Hafiz Halim, 18, sehingga mampu bergelar juara remaja dunia pada 2017.

Menyingkap kembali, ba­gai­mana, pesilat berusia 21 tahun itu boleh ‘terjebak’ dalam sukan tempur, Hafiz berkata, pada awalnya dia hanya menonton aksi silat di sekolahnya, sebelum pintu hatinya terbuka untuk mendalami seni mempertahankan diri Melayu tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masa itu saya dengan rakan sepasukan, tengah tunggu masa untuk berlatih ragbi. Jadi sementara tunggu itu, dia ajak saya tengok silat. Saya lihat macam seronok, dari situ timbul untuk mendalami silat.

“Selepas menyertainya, saya masuk pertandingan antara sekolah acara silat olahraga dan menang, masa itu saya berada dalam tingkatan tiga,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ketika ditanya adakah sukan tersebut pernah digunakan untuk menewaskan perompak atau menyelamatkan seseorang daripada peragut, Hafiz berkata, setakat ini, peristiwa tersebut belum pernah berlaku, bagaimanapun, dia pernah banyak kali meleraikan perga­duhan.

“Saya tidak suka dengan pergaduhan, lebih-lebih lagi melibatkan sesama Melayu. Saya pernah meleraikan beberapa pergaduhan.

“Takut memang takut, tetapi saya tetap memberanikan diri biarpun ada kalanya boleh meng­ancam nyawa,” jelasnya yang akan menyertai Kejohanan Silat Kebangsaan pada 27 hingga 30 Mac ini di Kuantan, dengan misi memburu pingat emas.

Mengulas berhubung tang­gapan orang ramai bahawa sukan tersebut berisiko tinggi untuk cedera, anak kelahiran Taiping, Perak itu memberitahu, di sebalik ‘kesakitan’ yang terpaksa ditanggungnya, terdapat banyak kelebihan apabila seseorang itu memiliki ilmu seni mempertahankan diri.

“Namapun silat, perkara yang melibatkan berlawan. Sa­kit itu biasa, tetapi tidak bermakna kita tidak harus mempelajarinya kerana jika kita memiliki ilmu ini, kita boleh berdepan dua keadaan sakit atau tidak sakit jika menghadapi situasi genting. Pertama, contohnya melibatkan ragut, kita boleh elak daripada diragut.

“Kedua, melibatkan pergaduhan. Mungkin kita akan berdepan risiko cedera, namun, sekurang-kurangnya cedera itu tidaklah teruk kerana kita sudah mempelajari teknik untuk berdepan musuh,” ujarnya yang berjiwa sukan dan pernah menyertai olahraga, ragbi serta bola sepak.

Dalam pada itu, pesilat berusia 18 tahun itu mengakui, dia berasa bertuah kerana dianugerah­kan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan memahami penglibatannya dalam sukan tersebut.

“Adik saya, Muhammad Hamzan juga mengikut jejak langkah saya untuk menyertai silat. Saya harap silat ini akan berkembang dan menjadi satu sukan yang memiliki masa depan cerah kepada negara,” katanya.

Mohamad Hafiz Halim

Tarikh Lahir: 17 April 2001

Tempat Lahir: Hospital Taiping

Tinggi: 171cm

Berat: 73kg

Idola Dalam Sukan: Suhairi Chin (bekas pesilat negara dan jurulatih silat Pulau Pinang)

Makan Kegemaran: Masak Lemak

Minuman Kegemaran: Sirap Limau

Hobi: Bersukan

Pelakon Kegemaran: 
Nasir Bilal Khan

Penyanyi Kegemaran: Lefthanded

Warna Kegemaran: Merah, Hitam

Kategori: Kelas F Putra

Pencapaian:

• Juara Remaja Dunia di Thailand

• Juara Open Silat UPSI

• Juara Sukma 2018

• Juara Remaja Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini