Kukuhkan lagi sistem pengawasan internet, media sosial - Lam Thye - Utusan Malaysia

Kukuhkan lagi sistem pengawasan internet, media sosial – Lam Thye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kerajaan perlu bekerjasama dengan negara-negara lain bagi memantau serta menangani keganasan dan ekstremisme di negara ini terutamanya dari segi eksploitasi media sosial oleh kumpulan pengganas.

LEE LAM THYE

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting kerana puak ekstremis turut menggunakan internet dan media sosial untuk mempengaruhi orang ramai dan merekrut mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengukuhkan lagi sistem pengawasan internet dan media sosial agar dapat mengenal pasti pihak yang menyalahgunakan platform tersebut untuk mengalakkan keganasan dan ekstremisme.

“Lebih banyak program perlu dilaksanakan supaya dapat melibatkan semua lapisan masyarakat dengan lebih berkesan. Usaha tersebut dapat memenangi hati dan minda orang ramai yang mudah dipengaruhi dan tertarik ke arah keganasan dan ekstremisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye mengulas mengenai kejadian serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand kelmarin yang mana serangan berdarah di Masjid al Noor, Christchurch telah distrim secara langsung selama 17 minit oleh penyerang.

Mengulas lanjut, Lam Thye berharap semua pihak akan mematuhi arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan tidak berkongsi rakaman video yang dirakamkan semasa kejadian berlaku di Masjid al-Noor, Christchurch.

Selain itu, kata beliau, kejadian serangan pengganas terhadap dua buah masjid di Christchurch menjadi pengajaran penting kepada semua bahawa isu keselamatan tidak boleh diambil mudah walaupun di negara yang paling aman.

“Sebagai masyarakat yang mencintai keamanan, kita sentiasa percaya melakukan pembunuhan terutama di tempat ibadat bukan sesuatu yang biasa dan tidak dapat diterima sepenuhnya. Jadi, ekstremisme dalam apa jua bentuk merupakan ancaman kepada manusia.

“New Zealand dikenali sebagai antara negara paling selamat di dunia. Apabila menjadi sasaran, ia menunjukkan bahawa tidak ada negara yang harus mengambil ringan aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, semua individu perlu mengukuhkan perpaduan terutamanya dalam menghadapi ancaman dalaman dan luaran seperti ekstremisme dan keganasan.

“Kita perlu sentiasa menekankan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh menjadi terlalu ekstrem dan taksub kepada agama jika ingin hidup dengan aman.

“Tugas yang ada di tangan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kecenderungan politik adalah untuk memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak semua bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama.

“Sejarah telah membuktikan Malaysia mampu mengatasi cabaran-cabaran sedemikian jika rakyatnya bersatu padu dan sanggup menghadapi kesukaran bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini