PASIR PUTEH – Kemelut yang melanda peniaga Pasar Besar Pasir Puteh dan Majlis Daerah Pasir Puteh berlarutan apabila seramai 20 peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan berniaga tanpa lesen bulan lalu.
Kesemua peniaga berusia antara 28 hingga 60-an itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Azem Fatihi Kamal.
Mereka yang terdiri daripada 14 wanita dan enam lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pasar Besar Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 10 pagi pada 15 Februari lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Undang-undang Kecil 9, Undang-undang Kecil Majlis Daerah Pasir Puteh 2009 dan boleh dihukum mengikut Undang-undang Kecil 44, Undang-undang Kecil yang sama.
Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan jika kesalahan berterusan boleh didenda dua ratus ringgit setiap hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nur Ainisa Arifin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding tersebut, dua peniaga turut dikenakan waran tangkap oleh mahkamah selepas gagal hadir pada sebutan kes itu.
Mahkamah menetapkan tarikh 21 dan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sebelum ini, kekecohan antara peniaga dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) apabila MDPP bertindak untuk merobohkan premis itu selepas beberapa notis pengosongan dikeluarkan dengan memberi tempoh yang dianggap lama untuk berpindah.
Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan MDPP menangguhkan proses merobohkan pasar itu sehingga perbicaraan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya didengar pada 22 Mac. – K! ONLINE











