KOTA TINGGI 15 Mac – Dua warga tempatan diberkas polis petang semalam, dipercayai kerana aktif menjual sijil sakit palsu dengan harga murah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun, yang dipercayai sebagai dalang menjual sijil cuti sakit palsu kepada orang ramai.
“Kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak tahun lepas menjual sijil cuti sakit palsu di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

“Kedua-dua suspek menawarkan khidmat mereka melalui aplikasi WhatsApp kepada pekerja swasta dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahsmon, setiap sijil tersebut dijual dengan harga antara RM30 hingga RM45 sekeping bergantung kepada butiran hari cuti di dalam sijil sakit berkenaan
Menurut siasatan, kedua suspek berkenaan berjaya menjual 90 keping sijil cuti sakit palsu sejak awal tahun lepas.
“Hasil serbuan di pekan Bandar Tenggara turut merampas dua unit cop tangan atas nama doktor dan klinik kesihatan kerajaan, 26 helaian sijil cuti sakit palsu dan dua unit telefon bimbit.
“Ekoran tertangkapnya dua suspek berkenaan, pihak polis turut berjaya menyelesaikan sembilan kes sijil cuti sakit palsu yang diterima sejak tahun lepas di daerah Kota Tinggi,” katanya.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dari sepuluh tahun dengan sebatan dan juga denda.
Ahsmon mengingatkan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan pekerja swasta agar tidak mengambil langkah mudah bagi mendapatkan pelepasan kerja dengan membeli sijil cuti sakit palsu.
Sekiranya terlibat, selain daripada tindakan tatatertib sehingga hukuman buang kerja, pesalah juga boleh dituduh di mahkamah. – BERNAMA











