Dua maut, dua cedera kereta bertembung - Utusan Malaysia

Dua maut, dua cedera kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 15 Mac – Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Nissan Almera dan Proton Iswara di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Temerloh, dekat sini malam semalam.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu ialah Liew Kwong Fai, 42, yang memandu kereta Nissan Almera dan pemandu Proton Iswara, Hairol Asyraf Mohammad, 23.

Penumpang hadapan kereta Proton Iswara, Sufi Salihin Mohd. Puad Norasid, 17, pula cedera di bahagian perut dan kepala manakala seorang lagi rakannya yang duduk di bahagian kerusi penumpang belakang, N. Kesavan, 18, mengalami luka di bahagian muka serta kaki sebelah kanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kemalangan berlaku ketika Kwong Fai memandu seorang diri dari arah Kuala Lumpur menghala ke Mentakab.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Kwong Fai dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara yang dinaiki Hairol Asyraf bersama dua penumpang.

“Pemandu kedua-dua kende­raan itu yang cedera di bahagian kepala dan dada disahkan me­ninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang kereta Proton Iswara yang ce­dera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan,’’ katanya di sini hari ini.

Menurut Zundin, pemeriksaan polis menemukan botol kosong minuman keras dalam kereta Nissan Almera manakala lokasi kejadian adalah jalan berselekoh, tidak rata dan persekitaran gelap.

‘‘Sampel darah dan air ken­cing kedua-dua pemandu ken­deraan berkenaan diambil untuk dianalisis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini