PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan melalui Education Malaysia Australia mengesahkan bahawa tiada pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand terlibat dalam insiden tembakan rambang di dua buah masjid di bandar raya itu.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, setakat pukul 5 petang tadi, seramai 303 pelajar Malaysia dari Canterbury University dan Lincoln University di Christchurch tidak terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kebanyakan pelajar berada di universiti masing-masing semasa kejadian itu berlaku.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan kejam individu ganas yang menyerang umat Islam di dalam masjid di Christchurch,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Maszlee berkata, semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sekitar Christchurch dan bandar-bandar lain di New Zealand dinasihatkan untuk menjaga keselamatan masing-masing.
“Mereka turut diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan dan arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebagai rekod, jumlah pelajar Malaysia di Canterbury University adalah seramai 270 orang manakala di Lincoln University adalah 33 orang. – K! ONLINE











