Serangan Christchurch: Kerajaan pastikan rakyat Malaysia selamat - Utusan Malaysia

Serangan Christchurch: Kerajaan pastikan rakyat Malaysia selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat kesal dengan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch New Zealand hari ini. 

“Saya amat kesal dengan kejadian di Christchurch di mana 40 orang ditembak mati oleh pengganas di dua masjid ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat.

“Kami amat dukacita dan simpati dengan mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian tembakan itu,” kata Mahathir dalam hantaran laman Facebook beliau hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berharap, kerajaan New Zealand akan menangkap para pengganas terlibat dan mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang negara itu.

Mahathir berkata, kerajaan akan mengambil segala langkah yang boleh diambil bagi memastikan rakyat Malaysia di New Zealand selamat.

Dua rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood itu dan mereka kini dirawat di hospital.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam yang tidak bersalah itu.

Ia berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sentiasa berhubungan dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan memantau rapi keadaan itu.

Menurut laporan media, kejadian tembakan itu, yang berlaku pada pukul 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia), meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini