KOTA BHARU 15 Mac – Sekretariat Luar Negara Pemuda UMNO memohon agar Wisma Putra mengemaskini dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi mahasiswa dan penduduk Malaysia di Christchurch, New Zealand.
Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, pihaknya turut menggesa Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah supaya mengambil langkah drastik dengan menghubungi keluarga pelajar Malaysia di tanah air terutamanya mahasiswa yang tinggal dan menuntut di bandar yang sama dengan kejadian serangan ke atas dua buah masjid yang mengorbankan lebih 40 umat Islam.
Beliau berkata, tindakan pantas itu mampu mengurangkan keresahan ahli keluarga mana-mana rakyat Malaysia khususnya Mahasiswa yang tinggal di Christchurch.
“Tragedi keganasan di New Zealand ini menonjolkan trend Islamophobia yang semakin meruncing selepas Keganasan Di Norway, Anders Breivik dan Quebec Alexander. Namun, di serata dunia extremis atau radikal kanan juga semakin kuat seperti tragedi yang menimpa komuniti Yahudi di Pittsburgh.
“Keganasan di Christchurch ini wajar dikecam hebat oleh seluruh dunia dan wajar dijadikan iktibar bahawa pandangan agama yang ekstrim dan sentimen perkauman yang chauvinis mampu menjadi ancaman keganasan. Kita mestilah menggalakkan sifat toleransi dan muhibah di kalangan rakyat untuk menentang polarisasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, Pemuda UMNO mendoakan keluarga mangsa dan rakyat New Zealand tabah menghadapi tragedi ini.
Lebih 40 orang terbunuh dan lebih 20 cedera parah dalam insiden dua serangan tembakan rambang di dua masjid di sini hari ini.
BBC melaporkan, perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Ardern dalam satu kenyataan menyifatkan insiden berkenaan sebagai serangan pengganas dan merupakan satu perisitwa paling buruk dalam sejarah negara ini. – UTUSAN ONLINE











