Tindakan Hodak makan diri - Utusan Malaysia

Tindakan Hodak makan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BHARU 15 Mac – Sikap tidak professional pengendali bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak menyalahkan sistem bola sepak negara sebagai punca kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun mungkin memakan diri apabila bakal dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya amat terkilan dengan kenyataan terbuka pengendali dari Croatia itu yang tidak sepatutnya menuding jari menyalahkan sistem bola sepak negara atas tiga kekalahan dialami anak buahnya di kejohanan jemputan itu.

Jelasnya, FAM akan mengeluarkan surat amaran dan tunjuk sebab kepada Bojan sebaik pasukan itu pulang daripada saingan itu nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertamanya saya rasa kesal dengan kenyataan yang dibuat Bojan apabila pasukan negara menghadapi kekalahan demi kekalahan di Jepun tempoh hari. Pada saya ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan diberi sewenang-wenangnya.

“Bojan sebagai jurulatih profesional sudah dapat melihat kejayaan pasukan di bawah bimbingan beliau semasa pertandingan AFF tahun lalu. Jadi masa itu pasukan meraih kejayaan dan pemain-pemain itu lahir daripada sistem bola sepak negara.

“Jadi apabila kita beroleh kejayaan tidak pula kita mempersoalkan sistem bola sepak negara tetapi apabila mengalami kekalahan kita mula menyalahkan sistem pula. Sedangkan pemain ini semuanya lahir daripada sistem ini.

“Jadi saya rasa ia kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan sekiranya ada masalah dalam pasukan ini beliau harus mencari jalan macam mana nak menyelesaikan,” katanya.

Katanya lagi, Hodak juga boleh melakukan perbincangan dengan Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo sekiranya tidak berpuas hati, bukan membuat kenyataan terbuka.

Skuad muda bimbingan Hodak memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Sekolah Tinggi Aamori Yamada semalam, sebelum dibenam 5-0 oleh Kelab Sagantosu.

Hari ini Malaysia tersingkir daripada kejohanan selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini tewas tipis 0-1 kepada Sekolah Tinggi Ohzu, hari ini. – UTUSAN ONLINE




Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini