KUALA LUMPUR 15 Mac – Kejadian tembakan rambang dalam sebuah masjid di Christchurch, New Zealand hari ini adalah satu tragedi hitam buat kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu tidak bertamadun dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan kerana meragut nyawa orang awam.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya dan terus mengikuti rapat insiden tembakan rambang. Menurut Polis New Zealand, situasi masih bahaya dan mereka masih dalam usaha memberkas pelaku tersebut.
“Kami mengutuskan simpati yang mendalam dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan warga New Zealand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
New Zealand dikejutkan dengan kejadian tembakan rambang menyasarkan jemaah sebuah masjid di Christchurch yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.
Seorang warga Malaysia dilaporkan menjadi mangsa namun disahkan stabil oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. – UTUSAN ONLINE











