PORT DICKSON 14 Mac – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor adalah malapetaka yang disebabkan kelemahan dalam menguruskan sisa bahan berbahaya.
Beliau berkata, kejadian yang menjejaskan lebih 1,000 orang itu merupakan peringatan bahawa aspek keselamatan dalam membuang bahan seumpama itu tidak boleh dipandang ringan.
“Ini perkara serius. Ini malapetaka yang agak besar dan bukan perkara semulajadi, tetapi kerana perancangan yang agak lemah.
“Kadang-kadang kerana mahu tarik pelabur kita ketepikan sedikit sebanyak isu ini. Saya beri peringatan bahawa keselamatan rakyat dan anak-anak harus jadi keutamaan.
“Menteri yang berkenaan, malah Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pun turun ke sana (Pasir Gudang) dan ini perkara serius,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Hi-Tea Bersama Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terjejas terutama kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, beliau melahirkan rasa bangga kepada pasukan polis, bomba dan pihak hospital yang bekerja keras dan bersemangat memberi bantuan kepada mangsa kejadian. – UTUSAN ONLINE











