KUALA LUMPUR 14 Mac – Kerajaan dilihat gagal menangani krisis pengurusan bencana dalam kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor terutamanya dalam aspek taklimat kepada media.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, beberapa laporan media mengenai kejadian pencemaran toksik di Pasir Gudang tidak akan menjadi tajuk utama media antarabangsa sekiranya Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Pusat pantas menilai skala imej negatif besar yang bakal terhasil daripada insiden tersebut.
Katanya, selepas `popular’ dengan isu sijil palsu menteri dan anggota Kabinet, kini dunia sekali lagi melihat bagaimana kerajaan baharu mengurus bencana yang puncanya disebabkan kelemahan pihak berkuasa menangani pembuangan bahan toksik.
“Isu yang harus diteliti di sini adalah bagaimana langkah kerajaan menangani krisis ini daripada mengelakkan ia menjadi publisiti buruk kepada Malaysia?
“Daripada hanya sebagai berita kemalangan biasa apabila beberapa pelajar diberi rawatan, ia bertukar menjadi bola api yang besar kerana krisis pengurusan tidak ditangani dengan baik terutamanya dari aspek taklimat media,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kemusykilan ramai ahli Parlimen mengenai kelemahan standard operasi prosedur (SOP) tindakan pasukan Krisis Bencana Negeri Johor dan Negara tidak wajar diambil ringan kerana membabitkan nyawa ribuan manusia.
“Seperti kata JBPM, mengapa puluhan tong buangan sisa toksik itu, tidak diuruskan dengan baik daripada awal? Kenapa ia dibiarkan bersepah? Apakah kita masih di takuk pemikiran lama, selepas berlaku sesuatu yang buruk, baharu mahu ditubuhkan jawatankuasa atau diambil tindakan?,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, keupayaan anggota penyelamat dan perubatan Malaysia setaraf dengan kemahiran pasukan penyelamat di negara maju lain namun mereka memerlukan arahan jelas, pantas dan tegas dari menteri Kabinet atau exco kerajaan negeri bagi membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.
“Dunia sedang memerhatikan langkah seterusnya yang kita akan ambil, tragedi ini bukan kecil dan boleh menjadi lebih meluas kerana tiupan angin yang membawa partikel toksik. Bagaimana kepemimpinan negeri di mana kejadian ini berlaku masih boleh menganggap ia dalam keadaan terkawal?
”Apakah pelan tindakan seterusnya? Selamatkah lagi kawasan sekitar Sungai Kim Kim itu untuk didiami? Benarkah penduduk yang menutup pintu atau tingkap itu dijamin selamat? Berapa lamakah mangsa tragedi ini akan terpaksa duduk di hospital ? Moga Allah melindungi anak-anak dan penduduk Pasir Gudang ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











