KUALA LUMPUR 10 Mac – Isu pemilikan sijil halal merupakan konflik yang tidak pernah berkesudahan sehingga hari ini.
Daripada 30 gerai makanan Food Republic di Kompleks Beli-Belah Pavilion di sini, hanya Restoran Ichiban Ramen sahaja mempamerkan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis tersebut.
Walaupun gerai lain tidak mempamerkan sijil halal, bukan bermakna pengendali tidak menyediakan hidangan halal atau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain sebaliknya mereka hanya mengalami kerumitan mendapatkan sijil tersebut atas beberapa faktor.
Pengurus operasi medan selera itu, Afiq Ashraf berkata, kebanyakan gerai tidak layak mendapatkan sijil halal akibat beberapa syarat yang tidak berjaya dipenuhi.
“Contohnya, ada restoran yang terletak dalam lingkungan 30 meter dengan restoran tidak halal sedangkan syarat mendapatkan sijil itu perlu mematuhi peraturan tersebut.
“Pengiktirafan halal bukan tertakluk pada makanan semata-mata tetapi merangkumi aspek penghantaran makanan; jarak restoran halal dan tidak halal; sumber bahan mentah; kebersihan premis serta penjual makanan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.
Food Republic dibuka sejak 2008 dan selain Ichiban Ramen terdapat gerai lain menawarkan hidangan makanan ala barat seperti western cuisine, kedai roti, Breadtalk dan kedai makanan arab, Tarbush.
Mengulas lanjut, Afiq memberitahu, sebanyak 60 peratus merupakan pekerja beragama Islam di medan selera itu sekali gus pelanggan lebih yakin membeli makanan tanpa rasa was-was. – UTUSAN ONLINE











