PH ‘takut’ kerjasama UMNO-Pas? - Utusan Malaysia

PH ‘takut’ kerjasama UMNO-Pas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Entah apa masalahnya, banyak pula pihak yang menyerang UMNO dan Pas gara-gara dua parti ini menjalinkan kerjasama. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menggunakan perkataan `pengisytiharan perang’ terhadap masyarakat bukan Melayu dalam kenyataan awalnya ketika mengkritik kerjasama dua parti tersebut, perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang menteri kanan dalam barisan Kabinet.

Meskipun kenyataan itu telah diubah daripada `pengisytiharan perang’ kepada `menyasarkan’ namun kerosakan telah pun berlaku. Yang penting ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kita tahu begitulah sikap dan pemikiran sebenar Guan Eng yang sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Oleh itu usahlah hairan jika rata-rata warganet melahirkan kekecewaan terhadap Guan Eng dan mahu Menteri Kewangan itu dipecat dan dihukum atas kenyataan rasisnya itu. Mereka menyatakan Guan Eng mesti bertanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penulis bersetuju dengan mereka. Undang-undang tidak boleh bersifat memilih dan semua pihak tetap tertakluk tidak kira siapa mereka hatta menteri sekalipun. Lebih malang lagi, ketika Guan Eng mengeluarkan kenyataan seumpama itu, tiada seorang pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) menegur pemimpin kanan DAP berkenaan.

Ini satu bab. Bab yang lain pula adalah tentang kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan gabungan UMNO dan Pas serta agenda kedua-dua parti itu amat merbahaya untuk negara.

Puas penulis fikir tentang bahaya yang dimaksudkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu. Hendak bersatu pun boleh dikatakan bahaya. Sungguh aneh dan pelik apabila terdapat tanggapan bahawa penyatuan orang Melayu dianggap merbahaya. Penyatuan ummah dianggap mengancam.

Ada eloknya individu yang seperti ini baca kembali bahan-bahan sejarah terutama sejarah Rasulullah SAW. Luangkan sedikit masa. Jangan asyik berpolitik sehingga lupa kunci kejayaan Rasulullah membina sebuah tamadun Islam yang hebat. Tidak perlulah penulis mengulas mengenai sejarah tersebut memandangkan ruangan ini yang agak terhad.

Banyak buku dan kitab yang boleh dibuat rujukan. Sekiranya tidak faham, bertanyalah kepada para ulama dan para ustaz. Yang pasti kejayaan Rasulullah ini bertitik tolak daripada penyatuan ummah yang diasaskan melalui persaudaraan sesama Islam.

Tidak salah untuk berpolitik tetapi biarlah rasional. Kenyataan yang dikeluarkan juga mestilah rasional. Persoalannya bukankah dalam al-Quran dan Hadis banyak menyebut mengenai perintah bersatu padu dan mengelakkan sebarang perpecahan.

Yang mengeluarkan perintah ini adalah Allah Maha Pencipta dan Rasulullah. Bukankah perintah Allah dan Rasul-Nya adalah wajib dipatuhi.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menasihatkan UMNO agar berhati-hati dengan setiap janji Pas dalam konteks kerjasama melibatkan dua parti berkenaan.

Inilah antara reaksi pemimpin PH yang dipaparkan dalam ruangan ini rentetan daripada kerjasama politik antara UMNO dan Pas. Ramai lagi yang memberikan respons termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mungkin ada kegusaran dalam hati mereka walaupun enggan mengaku.

Secara logiknya jika mereka tidak bimbang, sudah tentu tidak keluar kenyataan-kenyataan yang sebegini sehingga ada yang bersifat rasis. Justeru, UMNO dan Pas perlu istiqamah lebih-lebih lagi dengan termeterainya jalinan kerjasama secara rasmi pada 5 Mac lalu. Diharap jalinan kerjasama ini kekal sampai bila-bila.

Yakinlah perpaduan yang diasaskan atas nama Islam akan sentiasa mendapat pemeliharaan daripada Allah. Seperkara lagi buktikan kepada mereka bahawa penyatuan umat Islam dan orang Melayu akan memberikan kesan yang amat positif kepada negara terutama terhadap kestabilan politik dan perkembangan ekonomi.

Jangan dihirau kata-kata yang cuba menjejaskan hubungan antara UMNO dan Pas. Penulis percaya mereka cukup bimbang dengan perkembangan ini. Mereka bimbang majoriti orang Melayu akan menyokong UMNO dan Pas terutama ketika prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) mula dipersoalkan oleh rakyat kerana kegagalan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Memetik kata-kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih awal bulan ini, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah satu-satunya langkah yang boleh diambil bagi menyatukan orang Melayu dan umat Islam negara ini. Ayuh, jangan menoleh ke belakang. UMNO dan Pas perlu bersama demi Islam dan demi Melayu.


Jangan dihirau kata-kata yang cuba menjejaskan hubungan antara UMNO dan Pas. Penulis percaya mereka cukup bimbang dengan perkembangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini