JAKARTA 8 Mac – Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), calon Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Banda Aceh, Hamdanil Hanafiah berpendapat ia bukanlah penghalang untuk memenuhi aspirasi rakyat serta membawa negara bergerak ke hadapan.
Beliau menjanjikan untuk menghebatkan program pembangunan dan modal keusahawanan untuk suri rumah untuk menjana pendapatan.
“Saya bersedia untuk membawa aspirasi rakyat Banda Aceh, terutamanya melibatkan program-program untuk menjana pendapatan tambahan. Misalnya, golongan suri rumah boleh bergiat aktif dalam dunia perniagaan seperti kraftangan, kek dan kuih-muih yang boleh dapat menjana pendapatan tambahan sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya semalam.
Lapor Republika, Hamdanil, 48, yang juga dikenali sebagai Danil itu juga mahu meneliti semula pelasanaan undang-undang dalam pengambilan pekerja dalam kalangan OKU. -AGENSI











