GERIK – Seluas kira-kira 16 hektar kawasan hutan Bukit Gua Tedung berhampiran Kampung Air Ganda di sini terbakar pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.34 pagi sebelum sepasukan 18 pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Maklumat awal yang diterima daripada orang awam mengatakan kebakaran berlaku di Bukit Laba.
“Bagaimanapun selepas pemantauan bersama Jabatan Perhutanan Perak dilakukan, kami mendapati kawasan yang terlibat adalah hutan di Bukit Gua Tedung yang mempunyai ketinggian 314 meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Azizul, ketika tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati api sedang marak dan turut merebak ke Gunung 7.
“Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua kumpulan dan anggota menggunakan teknik pecah api selain memadamkan bara.
“Anggota menghadapi kesukaran untuk masuk ke lokasi kebakaran kerana perlu melalui kawasan yang cerun berbukit dan menyeberangi sungai,” katanya.
Ujarnya, operasi pemadaman yang turut disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Pengkalan Hulu dan Taiping selain 12 kakitangan Jabatan Perhutanan Perak itu sedang giat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput Jeffrey Abdullah berkata, operasi pemadaman Hutan Simpan Gunung Korbu dan kawasan antara Pos Legap dan Pos Kuala Mu diteruskan lagi pada hari ini.
“Operasi yang disertai 30 anggota bomba, Pejabat Hutan Sungai Siput (18) dan seorang anggota polis itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
“Kebakaran kini hanya tinggal lima peratus daripada keluasan kebakaran yang melibatkan lapan hektar kawasan hutan dan ia hanya melibatkan bara-bara api,” katanya. – K! ONLINE











