Operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Gunung Korbu diteruskan - Utusan Malaysia

Operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Gunung Korbu diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini meneruskan operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Gunung Korbu di Sungai Siput pagi tadi dengan menggunakan kaedah bom air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Pengarah Bahagian Operasi yang juga merupakan komander operasi , Mohd. Yunus Abu berkata, kaedah itu dilaksanakan dengan menggunakan helikopter MI-17 milik JBPM yang melibatkan keluasan kebakaran 30 peratus dari kawasan hutan simpan itu, di antara kawasan Pos Legap dan Pos Mu.

“Pemadaman diteruskan pada pukul 9.36 pagi tadi dengan strategi menggunakan ‘water bombing backet’ 1,500 liter. Keluasan kebakaran semakin meluas daripada 10 peratus semalam ke 30 peratus hari ini berikutan cuaca yang panas, angin kencang dan pokok-pokok buluh menyebabkan kebakaran lagi mudah merebak.

“Namun, kebakaran hanya melibatkan kawasan pokok-pokok buluh dan pokok renek, ia tidak melibatkan pokok-pokok balak di dalam hutan simpan. Anggaran ketinggian kawasan kebakaran adalah 1,500 kaki dari aras laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pos kawalan bomba juga telah didirikan di Pusat Latihan Perhutanan, Jalan Lintang, di Sungai Siput dan akan menyediakan satu lagi Pos Kawalan Hadapan di Kampung Santeh, Sungai Siput. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini