KUALA LUMPUR 6 Mac – Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kepemimpinan UMNO dan Pas telah berpaling daripada semangat tokoh-tokoh lama apabila mengumumkan kerjasama di antara kedua-dua parti.
Jelasnya, pengumuman Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga membuktikan kedua-dua parti berada di barisan sama walaupun sebelum ini dinafikan mereka.
“Pengumuman pemangku Presiden UMNO bahawa partinya dan Pas akan membentuk jawatankuasa dan kumpulan pembangkang di Parlimen akhirnya mengesahkan (kerjasama) walaupun bertahun-tahun penafian oleh pemimpin dari kedua-dua pihak bahawa kedua-dua sebenarnya satu barisan.
“Mohamad juga menggambarkan ikatan Pas-UMNO sebagai ‘perkahwinan’, saya telah mengisytiharkan mereka berkahwin sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada Ogos tahun lalu selepas ‘percintaan’ muncul setelah kejatuhan Pakatan Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, tindakan pemimpin UMNO dan Pas menggambarkan kedua-duanya telah berpaling daripada semangat serta warisan tokoh-tokoh lama mereka.
Semalam, Mohamad mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.
Beliau juga menyifatkan kehadiran kepimpinan Pas ke ibu pejabat parti itu sebagai majlis ‘persandingan’ di antara UMNO dan Pas. – UTUSAN ONLINE











