TIDAK adillah apabila yang membuat pengumuman ‘mendahului keadaan’ (jump the gun) bahawa tempoh moratorium bagi pengeluaran bauksit tamat pada akhir bulan ini ialah kerajaan Pusat, tetapi yang dipersalahkan setelah ia menerima kritikan hebat ialah kerajaan negeri Pahang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Inilah yang sebenarnya berlaku selepas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium tamat 31 Mac ini yang dengannya, kerja-kerja pengeluaran, pengangkutan dan pengeksportan bahan tersebut boleh bermula semula pada 1 April.
Ekoran itu, banyak pihak menghentamnya termasuklah parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri. Dan yang paling lantang ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Tidak cukup itu, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) turut menjadi sasaran ahli Parlimen ini yang semua orang tahu, survival politiknya bergantung penuh kepada isu-isu, bukan sangat kepada perkhidmatannya.
Malangnya, hentamannya terhadap kerajaan negeri berhubung isu bauksit sepertimana juga dengan isu pengoperasian Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng sebelum ini adalah jauh menyimpang daripada kebenaran.
Antara lain beliau bangkitkan tentang soal penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang beliau dakwa, kerajaan negeri hingga kini masih gagal merangka dan menyediakannya untuk dijadikan panduan oleh operator-operator bauksit.
Sedangkan beliau tidak tahu dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 22 Februari lalu, memutuskan SOP berkenaan perlu diperkasakan lagi sebelum tempoh moratorium tersebut benar-benar ditarik balik.

Ini penting kerana dengan SOP inilah juga akan dijadikan sebagai dokumen pengurusan bauksit yang pemakaiannya bukan untuk di Pahang sahaja, tetapi meliputi seluruh negara.
Susulan itu, satu bengkel memperkasakan SOP tersebut berlangsung di Putrajaya selama lima hari bermula 25 Februari lalu yang diurusetiakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
Selepas ini pula akan dianjurkan semakan awam bagi mendapat maklum balas orang ramai khususnya di Kuantan, kemudian dikemaskinikan lagi sebelum SOP tersebut dimuktamadkan.
Lama sebelum ini lagi, kerajaan negeri telah membantu menyediakan SOP tersebut menerusi beberapa bengkel yang dianjurkan bermula 2016.
Ahli Parlimen Kuantan itu juga membangkitkan kononnya kerajaan negeri belum lagi mengambil tindakan untuk meminda enakmen tertentu bagi mewajibkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) disediakan ke atas tapak lombong bauksit tidak mengira saiz.
Dalam hal ini, beliau benar-benar tersilap apabila menyangkakan ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sedangkan itu urusan kerajaan Pusat dengan keperluan Parlimen meminda Akta Kawalan Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Pindaan tersebut telahpun diluluskan oleh Parlimen sejak 2015 lagi yang antara lain mewajibkan semua tapak lombong bauksit tanpa mengira saiz keluasan, perlu menyediakan laporan EIA terlebih dahulu.
Sebelum pindaan, hanya tanah lombong bauksit berkeluasan lebih 20 hektar perlu menyediakan laporan EIA.
Malah sekarang pun, laporan EIA bagi aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan sedang disediakan oleh perunding yang dilantik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Setelah siap kelak, laporan ini juga akan melibatkan semakan awam sepertimana SOP yang disebutkan tadi.
Oleh itulah diharapkan, maklumat-maklumat yang tepat haruslah diperoleh sebelum menuding jari menyalahkan kerajaan negeri di sebalik tindakan ‘mendahului keadaan’ menerusi menteri di bawah kerajaan Pusat sendiri.











