KULAI 5 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mempertimbangkan beberapa perkara antara lain bunyi siren, gari dan cahaya yang kuat untuk dimasukkan dalam Garis Panduan Pengendalian Golongan Autisme.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, standard operasi prosedur (SOP) yang sedang dibincangkan pihak terlibat termasuk polis itu adalah bertujuan memberi panduan bagaimana mengendalikan golongan autisme yang ditahan pihak berkuasa.

Menurutnya, Jabatan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis telah mengadakan bengkel membincangkan garis panduan berkaitan untuk frontliners dengan dimulakan pihak polis.
“Antara isu dibincangkan adalah golongan autisme yang sensitif kepada muzik atau bunyi yang kuat dan kalau untuk polis mungkin isu siren kereta, sama ada kita akan gari atau tidak, ada juga antara mereka mempunyai special item yang perlu ada bagi mereka rasa selesa.
“Itu semua adalah SOP yang sedang dibincangkan dengan JKM, polis dan NGO dalam bengkel beberapa hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 peringkat negeri, di sini hari ini.
Pada September 2018, seorang lelaki autistik dilaporkan didakwa mencabul seorang wanita muda dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya, dengan penahanannya oleh polis menimbulkan kerisauan komuniti autisme.










