PUTRAJAYA 5 Mac – Malaysia dan Brunei hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan antara kedua-dua negara.
MoU itu melibatkan pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan dari Sabah dan Sarawak melalui Brunei dan sebaliknya.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Brunei, Datuk Seri Setia Dr. Awang Abu Bakar Apong menandatangani MoU berkenaan di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Pemeteraian MoU itu disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dengan Brunei.
Yang turut hadir, menteri-menteri Kabinet kedua-dua negara.
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan empat mata dengan Dr. Mahathir di bangunan Perdana Putra selama lebih satu jam.
Ini merupakan pertemuan julung kali antara Dr. Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan, iaitu platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa membabitkan berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin sebelum ini telah bertukar-tukar lawatan pada bulan Mei dan September 2018 susulan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.
Jumlah dagangan di antara kedua-dua negara adalah sebanyak AS$981.2 juta (RM3.996 bilion) pada tahun 2018.
Malaysia merupakan pelabur utama di Brunei di rantau ASEAN dengan pelaburan langsung asing dari Malaysia berjumlah AS$ 486.74 juta (RM1.9 bilion) pada tahun 2017 iaitu hampir 90.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing dari negara-negara ASEAN yang lain ke Brunei. – UTUSAN ONLINE










