Kemenangan manis - Mohamad - Utusan Malaysia

Kemenangan manis – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 2 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kejayaan merampas kembali kerusi Semenyih sebagai kemenangan yang manis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Timbalan Presiden UMNO itu, kemenangan dicapai oleh calon BN, Zakaria Hanafi itu amat bermakna selepas banyak pihak menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih merupakan ujian sebenar buat BN selepas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands, Januari lalu.

“Setelah kejayaan hari ini, jelas ujian sebenar adalah memihak kepada kita, syukur Alhamdulillah dan saya berterima kasih kepada pihak terutama rakan-rakan dalam BN, MCA, MIC dan khusus kepada sahabat saya, Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili parti Pas.

“Ini merupakan kerjasama yang amat baik dan telah menghasilkan keputusan yang baik, jadi kerjasama ini akan kita pupuk dan pastikan politik tanah air menjadi politik yang baharu di atas kerjasama dua parti Melayu yang terbesar, UMNO dan Pas yang membawa suara rak­yat sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian dekat sini malam ini.

Sementara itu, tambah Mohamad, kemenangan BN di Semenyih juga boleh dianggap sebagai referendum rakyat yang tidak berpuas hati dan kesal dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

“Rakyat tidak puas hati terutamanya dengan janji-janji yang ditaburkan serta melenakan pengundi semasa pilihan raya umum lalu.

“Kerjasama UMNO dengan Pas juga memang memberikan kelebihan kepada kami dan serta memberi manfaat kepada dua-dua pihak tetapi kita sedang merangka kerjasama untuk kepentingan bersama khusus juga kepada umat Islam dan orang Melayu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN