JAKARTA 2 Mac – Etnik Uighur yang ditempatkan di kem kemahiran vokasional mendakwa mereka dilarang bersembahyang sepanjang berada di premis itu, tindakan yang jelas melanggar hak asasi manusia.
Republika.co.id melaporkan, pendedahan tersebut dibuat beberapa organisasi Islam yang bergabung di bawah Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang melawat kem di wilayah berkenaan, minggu lalu.
Ketua Bidang Hubungan Luar Negeri MUI, Muhyiddin Junaidi berkata, seseorang penduduk boleh dianggap sebagai radikal jika mengamalkan ajaran Islam setiap hari seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir.
Sehubungan itu, katanya, MUI meminta kerajaan China memberi kesempatan kepada pelajar vokasional tersebut untuk beribadah setelah mereka selesai menjalani latihan.
“Kerajaan China diminta untuk bersama Persatuan Islam China dalam mengeluarkan peraturan berkaitan umat Islam.
“MUI tidak mahu mencampuri urusan China memerangi radikalisme dan pemisah namun kami bimbang, apa yang terjadi bukan deradikalisasi tetapi ‘deIslamisasi’. Itu yang kami risau,” katanya.
Seorang pelajar perempuan yang ditemui wartawan Republika, Rehangul mengesahkan mereka tidak dapat menunaikan solat lima waktu di kem berkenaan dan hanya berkesempatan berbuat demikian jika pulang ke rumah.
“Setiap minggu saya pulang ke rumah dan saya dapat beribadah. Di sini saya tidak solat,” jelas Rehangul.
Seorang lagi pelajar, Mehmed turut mengesahkan dakwaan Rengahul.
“Saya cukup gembira dapat pulang ke rumah pada setiap minggu kerana dapat beribadah dan berjumpa keluarga,” jelasnya. – AGENSI











