JAKARTA 2 Mac – Pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), Amien Rais menggesa supaya satu audit forensik dilakukan dalam Daftar Pemilih Tetap (DPT) pilihan raya Presiden 2019 (Pilpres).
Lapor Republika.co.id, beliau bersama gandingan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno menyatakan kesediaan untuk melakukan audit tersebut pada awal April ini.
“Pada awal April ini, pasukan Adil Makmur berserta kumpulan pakar internet akan cuba melakukan audit forensik terakhir.
“Jika ada pihak yang enggan terlibat dalam audit itu, maka ia jelas menunjukkan wujudnya niat tidak baik dalam Pilpres ini,” katanya, semalam.
Jelasnya, beliau tidak mendakwa Pilpres kali ini dipenuhi dengan niat buruk, namun perkara itu tetap boleh berlaku.
Katanya, terdapat 31 juta data DPT adalah palsu, selain ratusan ribu kad pengenalan (e-KTP) dibuang dalam kawasan sawah, sungai, tong sampah dan bahu jalan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa Pilpres perlu diadakan secara terbuka dengan pihak berkaitan perlu memainkan peranan yang sewajarnya.
“Mudah-mudahan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia dapat menjalankan tugas secara adil dan jujur supaya pemilihan kali ini dapat memberi kesejahteraan dan kebaikan kepada semua pihak,” katanya. – AGENSI











