Cuaca panas tidak jejas bekalan sayur - Utusan Malaysia

Cuaca panas tidak jejas bekalan sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) belum menerima aduan berkaitan peningkatan harga sayur dan masalah bekalan hasil tani akibat fenomena gelombang panas setakat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, walau bagaimanapun pihaknya tetap melakukan pemantauan sebagai langkah persediaan seandainya cuaca panas berlarutan dan menjejaskan bekalan hasil tani di pasaran.

“Sebenarnya, keadaan ini (cuaca panas) memberi ke­­baikan kepada tanaman berdaun hijau seperti kobis dan sawi kerana mempercepatkan tempoh matang pokok tersebut. Secara tidak langsung, keada­an ini dapat memastikan bekalan sayuran sentiasa mencukupi walaupun dalam cuaca panas,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program My Best Buy-Jualan Terus Dari Ladang @ Melaka Day Jom Gegau, di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Sementara itu, FAMA turut menyasarkan penambahan hingga 200 lokasi bagi program My Best Buy (MBB) hingga hujung tahun ini.

“Dengan maklum balas, kehadiran dan penyertaan usahawan tani dalam program bulanan tersebut, kami mendapati 162 lokasi MBB sedia ada sekarang tidak mencukupi. Kami dalam usaha meluaskan lagi akses pembeli dan peniaga dengan menambah lebih 30 lokasi baharu bertumpuan ramai seperti hospital, kilang, institusi pengajian tinggi dan kawasan perumahan,” katanya.

Tambahnya, penambahan lokasi itu juga diyakini mampu mencapai sasaran hasil jualan MBB iaitu sebanyak RM16 juta dengan penyertaan lebih 3,000 pengusaha pelbagai produk. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini