HULU LANGAT 28 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki bukti kukuh berupa dokumen penyata bank bahawa Pas terpaksa membayar RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Namun begitu, Anwar hanya akan mendedahkan dokumen tersebut sekiranya Pas terus mencabar beliau berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah yang difailkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Semalam saya tanya kepemimpinan Pas sebab saya nak test (uji) sahaja, tapi semua kata tidak. Nama saya Anwar Ibrahim, kalau saya tiada fakta saya takkan lawan. Memang ada bukti Pas khususnya atas nama Abdul Hadi terpaksa membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown.
“Saya nak bagi tahu kalau boleh Pas diam sahajalah. Soal mereka cerita kepada ahli-ahli tak ambil duit daripada UMNO, tak betul. Tak bayar Rewcastle-Brown, tak betul. Kalau mereka cabar (lagi), saya nak tunjuk kenyataan daripada bank. Bank mana? Nanti dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Terminal Bas Semenyih, di sini malam tadi.
Kelmarin, Anwar dalam sidang akhbar selepas memberi ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang mencabar Pas untuk menjelaskan sama ada parti itu membayar RM1 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan Pas sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Presiden Pas itu kemudiannya menarik balik saman tersebut awal bulan ini.
Tambah Anwar, beliau bertindak mendedahkan perkara berkenaan kerana berasa sangsi dan mengesyaki terdapat sesuatu yang tidak kena melibatkan isu tersebut.











