Selangor resah tanpa Rufino, Regan - Utusan Malaysia

Selangor resah tanpa Rufino, Regan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Selangor yang belum meraih kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini berdepan tugas berat apabila menerima kunjungan juara lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) esok selepas kehilangan dua tonggak import, Rufino Segovia dan Taylor Regan pada saat akhir.

Penjaring Terbanyak Liga Super 2018, Rufino gagal menamatkan sesi latihan hari ini akibat kecederaan otot manakala bek tengah dari Australia, Regan belum pulih daripada masalah kesihatan yang dialami ketika Red Giants seri 1-1 dengan Petaling Jaya FC, 9 Februari lalu.

Menyukarkan lagi keadaan Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, senjata baharu mereka yang dibawa masuk dari pasukan bermasalah, Perlis Khyril Muhymeen Zamri tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

“Rufino minta menamatkan latihan lebih awal hari ini kerana mengadu sakit perut. Dia tidak pernah begitu sebelum ini, biasanya dia amat bersungguh-sungguh dalam latihan.

“Jelas sekali, situasi ini meresahkan kami. Selangor memerlukan barisan terbaik untuk menentang pasukan terkuat di Malaysia dan mereka adalah tonggak kami,” kata Sathianathan kepada pemberita.

Sathianathan dijangka dapat menggunakan satu lagi senjata baharunya, Sandro da Silva yang bagaimanapun masih keletihan selepas mengharungi perjalanan 30 jam dari Brazil, selain Fandi Othman.

Sandro, 35, yang dibawa masuk pada saat akhir menggantikan Antonio German sudah mula menjalani latihan bersama pasukan beberapa hari lalu dan bersedia untuk memberi aksi terbaik jika diturunkan.

“Saya bersama pasukan dan rakan-rakan baharu.

“Bagaimanapun, saya sudah mula menjalani latihan dan patut tiada sebarang masalah. Rakan-rakan sepasukan saya ada kualiti, harap kombinasi kami Jumaat ini akan memberikan persembahan terbaik,” kata Sandro. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×