KAJANG 28 Feb. – Pengendali blog Papagomo mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pergaduhan pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil Semenyih, dua minggu lepas.
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, sebagai Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.
Mengikut pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Februari lalu kira-kira pukul 11.05 tengahari di tepi jalan Persiaran Impian Perdana dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa dengan menyebut perkataan ‘ko bodoh’ dengan maksud mengganggu kesantunan penama yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan tidak melebihi lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh sama serta tempat yang sama OKS didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq di bahagian leher dan bahu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun Papagomo yang diwakili Nik Saiful Adli Borhan, Farhan Maaruf dan N. Logendran memohon agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia hanya berniaga secara kecil-kecilan dan perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja dan lima anak yang masih kecil selain telah memberi kerjasama dengan pihak berkuasa apabila datang sendiri ke mahkamah selepas dihubungi polis.
“Dalam kes ini mangsa merupakan seorang menteri yang sentiasa dikawal ketat.
“Jadi mahkamah tidak perlu khuatir kerana sekiranya diganggu OKS, mangsa boleh membuat laporan polis,” katanya.
Mahkamah kemudian menetap 1 April depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kedua-dua kes. – UTUSAN ONLINE











