SHAH ALAM – Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman sudah mencadangkan nama Muhammad Adib Mohd. Kassim untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebelum kejadian rusuhan pada 27 November tahun lalu.
Bagaimanapun, perkara itu tidak kesampaian kerana anggota bomba malang itu sudah meninggal dunia akibat insiden terbabit.
“Saya ada mencadangkan nama Allahyarham tetapi tidak kesampaian,” katanya.
Terdahulu, pada prosiding petang ini, Muhammad Adib sempat memohon cuti bagi membolehkannya melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
“Saya beritahunya, kad kahwin pertama mesti sampai pada saya. Baru lulus cuti.
“Kami kemudiannya ketawa dan dia (Muhammad Adib) beritahu saya: Tuan kena hadir sebab saya adalah penutup tahun ini,” katanya sebak lalu menitiskan air mata mengenang gurauannya dengan Muhammad Adib.
Menurutnya, hubungan beliau dengan Muhammad Adib sangat rapat termasuk dengan rakan-rakan lain di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya kerana mereka mengamalkan budaya kerja secara brotherhood dan memegang prinsip ‘Seerat Serasa Sehati Sejiwa’.
Syed Syaril Anuar memberitahu, Allahyarham memang terkenal dengan sikapnya yang suka buat thumbs up, bergurau, suka senyum, disenangi dan suka menolong orang.
“Adib pula sangat komited dalam kerjanya dan tidak banyak masalah malah sentiasa menjadi model (contoh) di BBP Subang Jaya,” ujarnya. – K! ONLINE











