16 penagih dadah ditahan dalam kebun kelapa sawit - Utusan Malaysia

16 penagih dadah ditahan dalam kebun kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL – Seramai 16 penagih dadah termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan polis dalam satu operasi di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Palong 2, Gemas dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Sarang Pot Kandang Kambing yang dijalankan pihak polis di lokasi tersebut bermula pada pukul 10 pagi.

Menurut beliau, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki yang didapati berada di lokasi berkenaan semasa intipan dilakukan oleh pihak polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menyedari kehadiran pasukan polis, lelaki tersebut cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

“Polis seterusnya menahan 13 lelaki dan seorang wanita yang memasuki pot tersebut. Kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, polis merampas dadah jenis heroin seberat 16.5 gram bernilai kira-kira RM660 dan dadah jenis syabu  seberat 0.4 gram bernilai kira-kira RM135 dalam serbuan itu. 

Tambah beliau, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan oleh salah seorang suspek.

Kata beliau, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B, 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN