Bekas kerani akaun hadapi 138 tuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Bekas kerani akaun hadapi 138 tuduhan pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 27 Feb. – Seorang bekas kerani akaun sebuah firma  guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan pecah amanah bernilai RM103,740.55, tujuh tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, V. Pathumavethi, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM103,740.55 apabila menyalahgunakan harta dan menjadikan harta itu untuk kegunaan sendiri melalui cek bagi pembayaran baucar yang dibuatnya.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di Firma Guaman Chong and Poh di Jalan Dato Tahwil Azar antara Januari 2012 hingga Januari 2015.

Pertuduhan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam K. Nahtan.

Azman membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan di mana pasport wanita itu diserahkan kepada 
mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini