Bekas kerani didakwa pecah amanah lebih RM100,000 - Utusan Malaysia

Bekas kerani didakwa pecah amanah lebih RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang bekas kerani akaun di sebuah firma guaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM103,740.55 dalam tempoh tiga tahun sejak 2012.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, V. Pathumavethi, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut semua pertuduhan, Pathumavethi didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah iaitu menyalahgunakan harta berjumlah RM103,740.55 dan menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri melalui cek bagi pembayaran baucar yang dibuatnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Firma Guaman Chong & Poh, Jalan Dato Tahwil Azar di sini sejak Januari 2012 hingga Januari 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela, K. Nahthan.

Muhammad Fauzi mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan RM40,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Nahthan dalam rayuan kepada anak guamnya memohon mahkamah memberikan wang jaminan RM20,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan dengan alasan dia mempunyai dua anak yang masih belajar.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini