“Sejak insiden itu, hidup kami anak-beranak setiap hari dalam ketakutan,” kongsi Nur Kamilah Masni, 58, ketika membuka bicara.
Ibu kepada tiga orang anak itu menjadi mangsa jenayah rompak kira-kira dua dekad lalu di Masai, Johor.
Mengimbas kejadian pada petang itu, Nur Kamilah yang bekerja di kedai runcit seperti biasa melayan pelanggannya sehinggalah didatangi seorang pemuda menaiki motosikal sambil membawa parang.
Ketika itu, perasaan takut menyelubungi diri Nur Kamilah lebih-lebih lagi insiden itu merupakan kejadian kali pertama berlaku di kedainya.
Bahkan, ketiadaan suaminya di kedai runcit ketika itu juga membuatkan diri Nur Kamilah tidak berupaya untuk menentang perompak tersebut.
Melihat dengan mata kepalanya sendiri satu persatu barang-barang runcit di kedainya itu digeledah, Nur Kamilah hanya mampu beristighfar memohon perlindungan dari Yang Maha Esa.
Mujur amukan pemuda itu tidak sedikit pun mendatangkan kecederaan terhadap Nur Kamilah serta anak-anaknya yang dipeluk erat dalam dakapan.
“Saya memang mengenali orang itu kerana sebelum ini pernah berlaku perselisihan faham dengannya disebabkan hutang tetapi saya tidak sangka dia berani bertindak sebegitu sekali.
“Biarpun laporan polis telah dibuat dan tindakan telah pun diambil terhadapnya, kami sekeluarga masih lagi trauma dengan kejadian itu,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Disebabkan insiden itu masih lagi berbekas dalam diri, Nur Kamilah nekad menghentikan operasi kedai runcitnya sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.
Katanya, dia tidak menyesal berbuat demikian kerana tidak mahu insiden seperti itu berulang kembali dan menggugat keselamatan seluruh ahli keluarganya.
Jenayah
Insiden melibatkan dendam sehingga berlaku pelbagai siri jenayah bukan suatu perkara asing lagi dalam masyarakat kita.
Kosmo! pada 14 Februari lalu melaporkan, gara-gara cinta ditolak, seorang wanita tempatan mengalami kecacatan kekal selepas mukanya ditoreh dengan pisau pemotong sayur oleh lelaki Bangladesh dalam kejadian di pusat beli-belah Tropicana City Mall, Petaling Jaya.
Kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 24 tahun pergi ke pusat beli-belah berkenaan bersendirian sebelum diserang oleh suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an.
Difahamkan, mangsa dan suspek dikatakan bercinta sejak setahun lalu sebelum wanita itu mengambil keputusan untuk berpisah.
Akibat kejadian itu, mangsa telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan kesan torehan pada bibir dan pipinya telah digam semula oleh doktor.
Pihak polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut bertindak menahan dua lelaki Bangladesh di Kajang, Selangor sehari selepas itu.
Siasatan mendapati, suspek bertindak demikian akibat berasa cemburu dan tidak berpuas hati dengan keputusan mangsa yang mahu memutuskan hubungan.
Sebelum ini, dendam terhadap keluarga turut dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang ditemui dalam keadaan tragis di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang pada 30 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, polis telah merampas senjata kayu yang digunakan suspek untuk memukul mangsa, Siti Masitah Ibrahim yang dipercayai telah dibunuh pada 30 Januari lalu iaitu pada hari sama dia dilaporkan hilang.
Menurutnya, suspek seorang lelaki warga Kemboja berusia 23 tahun yang tinggal berdekatan rumah keluarga mangsa itu ditangkap di Kampung Tanjung Medang Hilir pada 31 Januari lalu kira-kira pukul 2 pagi.
Othman memberitahu, motif pembunuhan kejam kanak-kanak tersebut dipercayai kerana dendam terhadap keluarga mangsa, namun beliau tidak menjelaskan mengenai punca sebenar dendam berkenaan.
Berikut hanyalah beberapa contoh kes jenayah berkaitan dendam yang berlaku mutakhir ini.
Realitinya, banyak lagi kes-kes yang dilaporkan berlaku sejak dahulu lagi.
Punca
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Zaid Ahmad berkata, istilah dendam itu sudah pun wujud dalam masyarakat kita sejak sekian lama.
Katanya, perkara tersebut sudah pun diterima oleh masyarakat dan menjadi sebahagian daripada nilai dalam hidup.
Jelasnya, dendam berpunca daripada perasaan emosi seperti marah yang dipendam dalam diri dalam tempoh berpanjangan dan tidak diuruskan dengan baik.
Biarpun nampak remeh hakikatnya, istilah dendam itu sebenarnya boleh membawa kesan negatif dalam hubungan antara masyarakat.
“Perasaan dendam yang semakin menebal dalam diri masyarakat lebih-lebih lagi sehingga wujud frasa seperti aku tidak maafkan individu itu sampai bila-bila atau sampai kiamat pun aku tidak maafkannya.
“Sepatutnya, ia dibuang jauh-jauh kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih sempit selain akhirnya akan membawa mudarat terhadap diri sendiri,” jelasnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Justeru itu, katanya, memohon dan memberi kemaafan amat penting dalam hubungan sesama masyarakat kerana ia membolehkan kelompok sosial itu hidup dalam kedamaian.
Hal ini kerana sekiranya ia diabaikan, individu yang menyimpan dendam akan dihantui oleh perkara itu sepanjang hayat mereka.
Tambah Zaid, mempunyai perasaan marah itu merupakan sesuatu yang lumrah bagi manusia biasa tetapi, ia perlu diselesaikan dengan cara baik agar keharmonian dalam masyarakat dapat dipelihara.
“Tidak dinafikan memang sampai satu tahap, perasaan marah itu akan menjadi seakan tidak tertahan tetapi itu tidak bermaksud ia dapat menghalalkan sesuatu perbuatan berbentuk hukuman sehingga berlaku jenayah dan sebagainya.
“Individu itu perlu menguruskan emosi mereka dengan baik dan setelah keadaan semakin kurang tegang, selesaikan segera dengan pihak satu lagi,” kongsinya.
Solusi
Pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman pula memberitahu, dendam merupakan sifat mazmumah yang dikeji.
Katanya, individu yang berdendam itu mewarisi perangai syaitan yang pernah bersumpah untuk merosakkan anak Nabi Adam sehingga hari kiamat.
“Dendam atau hasad ini merupakan ibu kepada penyakit hati sebab itu, kita perlu meminta perlindungan kepada Allah daripada penyakit hasad ini.
“Hasad ini bukan sahaja akan merosakkan diri tetapi hati turut akan sakit sehingga berlarutan dikhuatiri berlaku kegiatan jenayah,” jelasnya.
Jelas Muhamad Aizuddin, solusi kepada penyakit hati itu ialah rahmat dan kasih sayang.
Selain itu, ketaatan kepada Allah turut akan melahirkan rasa kasih sayang kepada umat manusia.
Pesan Muhamad Aizuddin, sekiranya perasaan marah itu semakin membuak-buak, adalah dinasihatkan untuk mengikuti ajaran Nabi Muhammad iaitu berhenti daripada terus memarahi.
Antara cara yang boleh dilakukan ialah mengubah posisi kedudukan selain meninggalkan tempat itu bagi meredakan keadaan.
Kemuncak perasaan marah yang dipendam lama dalam masyarakat mengundang rasa gerun apabila berlakunya pelbagai siri jenayah dalam negara disebabkan dendam.











