LONDON – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer optimis The Red Devils berpeluang untuk melangkah ke final Piala FA selepas berjaya menumbangkan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge pada pusingan kelima awal pagi semalam.
Katanya, mentaliti yang dipamerkan oleh barisan pemain sangat membanggakan terutama selepas mereka gagal mempamerkan aksi yang diharapkan ketika tewas dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah kepada Paris Saint-Germain (PSG) minggu lalu.
“Ini adalah reaksi terbaik yang dipersembahkan oleh barisan pemain kami kerana menunjukkan kesungguhan dan komitmen sepanjang 90 minit perlawanan. Karakter yang dipamerkan untuk menewaskan pasukan berkualiti seperti Chelsea cukup luar biasa.
“Saya harap keputusan ini dapat menjadi bekalan positif buat barisan pemain kerana bakal mengharungi minggu yang sukar apabila dijadualkan bertemu dengan Liverpool minggu ini.
“Misi utama pasukan masih lagi berada di kelompok empat teratas Liga Perdana England (EPL), yang mana pasukan seperti Chelsea dan Arsenal akan terus menekan kami sehingga penghujung musim nanti.
“Namun, kami juga mahu melangkah ke final Piala FA dan saya percaya perkara tersebut tidak mustahil untuk dicapai. Selepas ini kami akan bertemu dengan Wolverhampton di peringkat suku akhir dan saya harap pemain dapat meneruskan momentum yang sama,” katanya.
Sebagai rekod, United telah memenangi trofi Piala FA sebanyak 12 kali dalam sejarah dan kali terakhir melakukannya adalah pada edisi 2016 ketika menewaskan Crystal Palace di pentas final. – Agensi











