Alyssa kongsi impian bersama kembar - Utusan Malaysia

Alyssa kongsi impian bersama kembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASANGAN kembar sering dikaitkan dengan perkongsian minat yang sama dan biasanya serasi dalam melakukan apa sahaja pekerjaan. Begitu jugalah perihalnya yang terjadi dengan Nurul Alyssa Junaidi yang berkongsi impian bersama pasangan kembarnya, Nurul Ayunni untuk mengecapi kejayaan dalam arena boling di pentas antarabangsa.

Seperti mana Ayunni, Alyssa juga telah meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan boling peringkat kebangsaan sejak di bangku sekolah lagi sehinggalah kini.

Anak kelahiran Sabah itu yang memenangi pingat emas pertamanya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh, Perak, memulakan karier sebagai atlet boling seawal usia 10 tahun. Menginjak usia 19 tahun, Alyssa memasang impian untuk mengikut jejak langkah legenda boling wanita negara, Shalin Zulkifli meskipun sedar sukar untuk menjadi sehebat seperti idolanya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pernah beraksi di pentas besar seperti Terbuka Singapura dan kejohanan remaja antarabangsa, Alyssa amat berharap kali ini dia diberi peluang pula mewakili Malaysia pada Sukan SEA di Filipina, November nanti.

“Saya dan kembar saya banyak meraih pencapaian bersama serta bersaing sesama sendiri di peringkat sekolah dan dalam setiap kejohanan yang kami sertai. Salah satu perbezaan antara saya dan Ayunni adalah saya tidak memakai hand-guard tetapi kembar saya memakai hand-guard. Sudah tentu lebih bermakna untuk mencapai kejayaan bersama.

“Siapa tidak kenal Shalin. Dia merupakan idola saya dan legenda boling negara, sukar untuk mencari penggantinya. Saya ingin mengikut jejak langkahnya dan mencipta kejayaan tersendiri serta terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya.

Bercakap tentang sasarannya tahun ini, Alyssa yang bakal menyertai Kejuaraan Remaja Asia di Kuching, April ini, mahu meraih kejayaan pada kejohanan berkenaan.

“Malaysia telah melakar kejayaan pada kejohanan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya harap dapat dipilih bagi meneruskan prestasi cemerlang negara pada tahun ini pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alyssa mengakui sukan boling memberi pelbagai cabaran kepadanya, sekali gus, membuatkan dia terus ‘jatuh cinta’ terhadap sukan tersebut, selain, menerima dorongan keluarga.

“Sukan boling amat mencabar terutama teknik melontar bola. Berkat dorongan ibu bapa dan dua kakak saya Nurul Atikah serta Nurul Adilah yang merupakan bekas pemain boling Sabah, minat saya semakin bercambah dalam sukan ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pencapaiannya, Alyssa berkata, dia pernah melakukan permainan sempurna sebanyak tiga kali ketika beraksi di CPS Bowl, Kota Kinabalu dan Sunway Mega Lanes di ibu negara.

Nurul
Alyssa Junaidi

Tarikh Lahir: 18 Jun 2000
Berat: 50kg
Tinggi: 152cm
Impian: Mewakili malaysia
Pencapaian: Pingat emas (perseorangan) Sukma 2018
Cita-cita: Jurulatih boling
Nama Kembar: Nurul Ayunni Junaidi
Bermain menggunakan tangan: Kanan
Pengajian: Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara, 
Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×