MARAN 17 Feb. – Setelah kira-kira sembilan bulan mengambil alih tampuk kuasa di Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini masih gagal dalam meningkatkan kualiti sosioekonomi dan sosial warga peneroka Felda di negara ini.
Rata-rata yang ditemui berpendapat usaha bagi membantu mereka sudah berakhir kerana tiada usaha serius dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan sosial serta pendidikan warga Felda.
Walaupun menjanjikan pelbagai insentif dan pemansuhan hutang peneroka, namun ia dilihat hanya janji palsu dan sukar diterima peneroka yang mengharap PH lebih mesra golongan itu.
Berita berkaitan:
Ketua Peneroka Felda Tersang 1, Raub, Zahari Arshad, 59, berkata, antara masalah dihadapi adalah kelewatan bayaran sara hidup, sekali gus menyebabkan peneroka terlibat menghadapi tekanan hidup yang sukar kerana tiada wang untuk membayar bil elektrik dan air serta membeli barangan keperluan.
“Setiap peneroka sepatutnya terima RM1,500 sebulan untuk empat hektar tetapi baki tinggal sedikit setelah ditolak hutang. Bayaran kerja-kerja kontrak yang dlaksanakan pemborong terutama koperasi juga lambat menyebabkan banyak bayaran tergantung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 61, mengakui kehidupan warga Felda kini semakin terhimpit akibat pelaksanaan dasar tidak mesra peneroka di tambah dengan isu kejatuhan harga kelapa sawit.
“Tekanan hidup dialami mendorong sesetengah peneroka menjual sawit kepada pihak swasta, walaupun murah tetapi terpaksa bagi mendapatkan tunai,” ujarnya.
Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Felda Bukit Tajau, Nor Azhar Abdul Latif, 58, pula berkata, kelewatan bayaran sara hidup tidak seharusnya berlaku kerana janji PH adalah untuk membina kehidupan lebih baik dalam kalangan warga Felda.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 15, Adnan Darus, 62, berkata, dasar kerajaan PH yang tidak mesra peneroka perlu ditangani segera demi kebaikan kedua-dua pihak.
Menurutnya, jika kerajaan terdahulu dapat memberi subsidi sekiranya pendapatan peneroka kurang RM1,000 sebulan, kerajaan baharu seolah-olah tidak mempedulikan langsung keadaan mereka sama ada cukup makan atau sebaliknya.











