KUALA LUMPUR 13 Feb. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyatakan jumlah sebenar kos yang ditaja sebuah syarikat nombor ramalan berkaitan isu lawatan kerja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun serta rombongan ke Turki.
Sambil mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat nombor ramalan boleh menaja lawatan itu, Khairy mahu PH supaya segera memberi penjelasan agar tidak wujud konflik kepentingan berhubung perkara berkenaan.
Jelas Khairy, hal ini kerana jika dilihat kepada gambar yang tular dalam internet, pegawai polis yang turut serta dalam lawatan kerja itu turut ditemani oleh isteri mereka.
“Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan lawatan kerja itu diluluskan beliau. Kononnya untuk belajar tentang kaedah menangani masalah judi dalam talian.
“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula menyatakan lawatan itu dibuat menerusi Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia tetapi segala kos perbelanjaan ditaja oleh Da Ma Cai, sebuah syarikat judi dan loteri. Dengan kata lain, syarikat judi menaja pasukan polis untuk belajar menangani masalah judi haram,” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Muhyiddin menafikan kunjungan Mohamad Fuzi bersama pegawainya ke Turki untuk tujuan peribadi kerana ditaja oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk belajar cara membanteras judi haram dari negara lain.
Guan Eng hari ini pula menegaskan Kementerian Kewangan tidak pernah meluluskan lawatan itu kerana lawatan berkenaan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia yang merupakan syarikat di bawah kementerian tersebut dan sumber kewangan bagi lawatan berkenaan ditaja oleh syarikat nombor ramalan. – UTUSAN ONLINE











