KUALA LUMPUR 29 Jan. – UMNO akan terus bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor susulan kejayaan pembangkang dalam PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua parti telah bersetuju mewujudkan jawatankuasa bersama bagi merangka strategi menghadapi PRK itu yang dijadualkan pada 2 Mac ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kedua-dua parti akan menggerakkan jentera masing-masing bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) yang belum diumumkan.
“Ya, UMNO akan terus mengadakan kerjasama dengan Pas. Model kerjasama yang sama seperti di Parlimen Cameron.
“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan bersesuaian dengan PRK DUN Semenyih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini
Kerjasama antara UMNO dan Pas semasa PRK Parlimen Cameron Highlands membolehkan calon BN, Ramli Mohd. Nor memperoleh 12,038 undi berbanding M. Manogaran daripada Pakatan Harapan (PH) mendapat 8,800 undi manakala dua calon Bebas, Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee masing-masing dengan 314 dan 276 undi.
Undi kepada calon BN itu adalah lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila calon BN, Datuk C. Sivarraajh hanya memperoleh 10,307 undi.
Pas tidak bertanding dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dan undi sebanyak 3,587 yang diterima parti itu semasa PRU-14 telah berpindah kepada BN.
PRK DUN Semenyih dilangsungkan susulan Ahli DUN kawasan tersebut Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor, daripada PH yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggal dunia pada 11 Januari lalu.
PRK itu dijangka sengit untuk mengukur adakah orang Melayu memilih BN atau PH berikutan pelbagai isu yang menghantui kaum tersebut dan umat Islam di negara ini sejak pertukaran Kerajaan Pusat.
Semasa PRU-14, Allahyarham Bakhtiar mendapat 23,428 undi, mengatasi calon BN, Datuk Johan Abd. Aziz yang menerima 14,464 manakala calon Pas, Mad Shahmiour Mat Kosim mengumpul 6,966 undi.










