Penternak ayam digesa guna sistem ternakan tertutup - Utusan Malaysia

Penternak ayam digesa guna sistem ternakan tertutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 29 Jan.- Kerajaan negeri menggesa penternak ayam di seluruh negeri menggunakan sistem ternakan tertutup bagi mengelakkan masalah lalat yang sering menggangu penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Disember 2021 bagi penternak ayam yang masih menggunakan sistem ternakan terbuka kerana menyebabkan gangguan lalat.

Menurutnya, tempoh itu juga selaras dengan arahan kerajaan Persekutuan yang turut mengarahkan penternak khinzir menukar sistem penternakan dari sistem terbuka kepada sistem tertutup di seluruh negara sebelum Disember 2021.

“Di Perak, Daerah Manjung merupakan daerah yang paling banyak ladang ayam iaitu 183 ladang ayam dengan kapasiti sebanyak lebih 13 juta ekor ayam. Sehingga tahun lepas, ada 87 ladang tertutup dan 96 ladang terbuka di daerah tersebut.

“Masih banyak lagi pengusaha yang menternak secara terbuka dan jika ia masih diteruskan, akan ada dua masalah yang menganggu iaitu masalah lalat dan juga bau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat ladang ternakan ayam syarikat Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC), Segari di sini hari ini.

Pada lawatan tersebut, Sivanesan berpuas hati dengan sistem ternakan ayam syarikat tersebut yang menggunakan sistem penternakan tertutup bagi memastikan aspek kebersihan terjaga dan tidak menyebabkan gangguan lalat.

Sivanesan berkata, kebanyakkan penternak ayam masih berdegil kerana menggunakan sistem penternakan terbuka dengan alasan sistem penternakan tertutup memerlukan pelaburan kos yang lebih tinggi.

“Memang pelaburan agak tinggi tetapi ini untuk masa depan agar gangguan lalat dan masalah bau tidak mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya.

Beliau turut berharap syarikat besar yang telah menggunakan kaedah reban tertutup untuk berkongsi dan membantu syarikat penternakan kecil yang masih menggunakan sistem reban terbuka.

“Di Manjung ada tiga ladang ternakan besar yang sudah menggunakan sistem ternakan tertutup. Jika mereka boleh membantu penternak kecil menukar sistem, ia perkara yang amat baik kerana kita tidak mahu lagi ternakan secara terbuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×