Lelaki cuba jual pistol ditahan polis. - Utusan Malaysia

Lelaki cuba jual pistol ditahan polis.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang cuba menjual sepucuk pistol kepada orang awam akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis di Jalan Ipoh di sini Sabtu lalu.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 30 tahun itu telah dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan dilakukan pihaknya kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas menerima laporan daripada orang awam tentang tindakan suspek yang cuba menjual senjata api tersebut.

“Soal siasat yang dilakukan ke atas suspek kemudiaannya membawa polis ke sebuah rumah di Taman Dato Senu, Sentul di mana polis telah menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 Special 1.

“Turut ditemui adalah sebanyak lima butir peluru .38 dan dua butir peluru 9 milimiter,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Menurut Mazlan, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dari mana suspek memperolehi senjata tersebut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang,” tegas beliau.

Dalam pada itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga ahli kumpulan Ah Tee dalam satu operasi khas di Taman Gembira, Kuchai Lama di sini pada hari yang sama.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Jelas Mazlan, suspek membekalkan dadah yang dicampur ke dalam minuman ringan di pusat-pusat hiburan di sekitar ibu kota.

“Hasil pemeriksaan, kita telah merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 3.1 kilogram, 70 pil ekstasi (28 gram), 40 pil erimin 5 (13 gram)129 botol cecair ekstasi (57.8 liter) dan 185 batang rokok ganja yang dianggarkan bernilai RM150,000,” ujar beliau.

Tambahnya, polis turut merampas  wang tunai berjumlah RM900 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 26 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×