Dana perumahan RM1 bilion tawar kadar gadai janji rendah - Utusan Malaysia

Dana perumahan RM1 bilion tawar kadar gadai janji rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pembeli rumah pertama dijangka menikmati pengurangan sebanyak 23 peratus dalam komitmen bulanan masing-masing berbanding skim pembiayaan semasa di pasaran menerusi inisiatif Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang dilancarkan hari ini.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, menerusi kadar pembiayaan maksimum 3.5 peratus setahun bagi kediaman berharga sehingga RM150,000, inisiatif itu telah menarik lebih 1,037 individu yang menyertai pendidikan kewangan di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Daripada jumlah itu, 265 individu secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi pada masa ini,” katanya pada majlis pelancaran dana dan Portal Rumahku di sini hari ini.

Dana dan portal tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Mengulas selanjutnya, Nor Shamsiah berkata, selain menangani keperluan kewangan pembeli rumah pertama, inisiatif itu juga bertujuan mendidik mereka mengenai kemampuan meminjam serta membayar balik.

“Portal Rumahku ini membantu bakal peminjam memahami dan mengurus kewangan mereka dengan berkesan melalui penilaian kendiri yang mudah. 

“Golongan sasar harus menyedari bahawa memiliki  rumah melalui pinjaman perlulah berlandaskan kemampuan untuk membayar balik pinjaman sepenuhnya,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×