Lelaki Bangladesh gagal lari selepas terjatuh dalam tong minyak - Utusan Malaysia

Lelaki Bangladesh gagal lari selepas terjatuh dalam tong minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki Bangladesh melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah kilang besi di Pokok Sena di sini semalam ternyata sia-sia apabila dia ditahan selepas ditemui terjatuh ke dalam tong berisi minyak pelincir.

Dalam serbuan Ops Mega 3.0 kira-kira pukul 10.30 pagi itu, seramai 23 pekerja warga asing diperiksa dan hanya tiga daripada mereka didapati melakukan kesalahan imigresen iaitu tiada dokumen perjalanan sah.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, seorang lelaki Bangladesh berusia 29 tahun yang cuba melarikan diri ketika serbuan ditemui terduduk di dalam tong berisi minyak pelincir sebelum ditahan.

“Selain lelaki terbabit, kita menahan dua lagi lelaki yang merupakan rakan senegaranya berusia 23 dan 37 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya pada masa sama turut melakukan serbuan ke atas sebuah ladang cili di Pokok Sena dan menahan seramai 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 16 hingga 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.

Tambahnya, semua pendatang asing tanpa izin tersebut ditahan di lokap imigresen di bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×