KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) rumah kedai di Taman Cheras Prima Kajang, dekat sini hari ini berjaya mengambil tindakan terhadap pemilik 78 unit kedai yang mempunyai tunggakan penyenggaraan berjumlah RM150,000.
Video oleh NUR IZZATI IZZAH NADZI
Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPKj, Shahril Omar berkata, pihaknya menerima permohonan daripada JMB berkenaan pada 7 Januari lalu untuk membantu kutipan bayaran yang tertunggak sejak Oktober 2016.
“Satu tindakan bersepadu diketuai JMB telah dilakukan hari ini seperti menyerahkan Borang 11, Akta 757 Tuntutan Tunggakan Caj Penyenggaraan, pemeriksaan kedai, lesen perniagaan, kawalan dan penguatkuasaan, pemeriksaan binaan tambahan dan cukai pintu.
“:Tindakan hari ini turut dibantu oleh Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melakukan pemeriksaan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.
Sementara itu, Pengerusi JMB, Yusri Kidam berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak lebih 17 tahun yang mana tunggakan caj penyenggaraan yang terlalu tinggi menyebabkan kerja penyelenggaraan sukar dilakukan.
“Pelbagai usaha dilakukan sebelum ini untuk memastikan pemilik atau penyewa menjelaskan bayaran namun tidak diendahkan oleh mereka.
“Oleh itu, pihak JMB terpaksa meminta bantuan MPKj supaya kutipan tertunggak itu dapat dilakukan di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










