Geng Ah Tee bekal dadah dalam minuman ringan ditahan - Utusan Malaysia

Geng Ah Tee bekal dadah dalam minuman ringan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Seorang lelaki yang juga ahli kumpulan Ah Tee ditahan dalam satu operasi khas di Taman Gembira, Kuchai Lama, di sini hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek membekalkan dadah yang dicampur ke dalam minuman ringan di pusat-pusat hiburan di sekitar ibu kota.

“Hasil pemeriksaan, kita telah merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 3.1 kilogram, 70 pil ekstasi (28 gram), 40 pil erimin 5 (13 gram)129 botol cecair ekstasi (57.8 liter) dan 185 batang rokok ganja.

“Jumlah dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 3,500 orang dan dianggarkan bernilai RM150,000,” katanya ketika ditemui dalam sidang di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, pihaknya turut merampas  wang tunai berjumlah RM900 dan sebuah Perodua Myvi.

Jelasnya, suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, polis turut menahan seorang lelaki pada hari sama kira-kira pukul 12.30 malam di Jalan Ipoh, di sini kerana cuba menjual sepucuk pistol.

Lelaki berusia 30 tahun itu oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mazlan berkata, soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan sepucuk pistol dan lima butir peluru .38 dan dua butir peluru 9 milimiter di rumahnya di Taman Dato Senu, Sentul, di sini.

Tambahnya, suspek kini direman sehingga 31 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×