KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar mencipta sejarah menjadi artis tempatan pertama yang memfailkan saman terhadap 100 netizen selepas dibuli di alam siber berhubung dakwaan memfitnah jururawat di laman sosial baru-baru ini.
Menurut Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 41, pihaknya telah mengenal pasti individu-individu tersebut menerusi beberapa platform media sosial dan penyerahan surat saman dilakukan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
“Saya dan pihak peguam telah mengenal pasti 100 individu yang mengeluarkan komen mengaibkan sehingga memberi kesan bukan sahaja kepada saya, tetapi keluarga,” katanya kepada Kosmo!
Tambah Linda, tindakan berkenaan diambil selepas arwah ibunya, Rasimah Abd. Rahman yang telah meninggal dunia pada 11 Januari lalu turut dikecam.
Dia yang tertekan dengan isu tersebut berasa bersalah kerana keluarga dan kenalan rapat turut menerima kesannya.
“Saya sebenarnya tidak mahu memanjangkan perkara ini. Keluarga juga menasihatkan agar lupakan sahaja. Bagaimanapun selepas ibu meninggal dunia, saya masih terus mendapat pelbagai kecaman. Jadi, keluarga menyokong saya meneruskan saman ini,” katanya.
Dalam pada itu, peguam yang mewakilinya, Nurul Hafidzah Hassan berkata, saman yang difailkan anak guamnya itu menuntut kesemua 100 netizen membuat permohonan maaf secara terbuka dalam laman media sosial.
“Kami cuma menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak anak guam di platform defendan mengeluarkan kata-kata tohmahan dan fitnah tersebut.
“Sekiranya berdegil, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang,” ujar Nurul Hafidzah.
Terdahulu, pada Disember lalu Linda telah memuat naik keluhan terhadap jururawat yang disifatkan sebagai biadab di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor
Status tersebut mengundang kecaman dalam kalangan jururawat dan orang ramai. Dalam masa sama, kes membabitkan saman jururawat terhadapnya sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam. K! ONLINE











