KATHMANDU 28 Jan. – Juruterbang mengalami tekanan perasaan menjadi punca nahas kapal terbang terhempas mengorbankan 51 orang di Nepal pada Mac tahun lalu.
Menurut laporan siasatan kerajaan, berkemungkinan punca nahas disebabkan kecelaruan mental dan kehilangan kesedaran keadaan sekeliling pada bahagian kru.
“Terdapat bukti jelas bahawa juruterbang utama, Kapten Abid Sultan menghadapi tekanan mental teruk dan kecewa selepas rakan kerja wanita mempersoalkan reputasinya sebagai pengajar yang baik.
“Bekas juruterbang angkatan udara Bangladesh itu yang juga merupakan pengajar bagi syarikat penerbangannya bercakap tidak henti dan merokok sepanjang penerbangan singkat dari Dhaka ke Kathmandu,” jelas laporan itu.
Tambahnya, dia cuba menunjukkan tahap kecekapan dan kompetensi yang boleh mendaratkan kapal terbang dalam apa jua keadaan kepada penolong juruterbang junior. – AFP











